Pembentangan Usul Mengenai Tragedi Malang Yang Menimpa Pesawat MAS, MH17 Pada 17 Julai 2014, Di Bawah Peraturan 27(3), Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat

 Tuan Yang Dipertua,

  1. Kira-kira jam 11 malam, pada hari Khamis 17 Julai 2014, bersamaan 19 Ramadan 1435 Hijrah, satu tarikh yang tidak akan luput dalam ingatan, apabila saya menerima panggilan daripada Pengerusi Malaysian Airlines, Tan Sri Md Nor Yusof, berkaitan MH17.
  2. Ternyata, belum pun reda tragedi MH370, kini peristiwa tragik MH17 berlaku tanpa diundang.
  3. Bahawa, atas ketentuan Ilahi jua, satu peristiwa tragik telah berlaku. Dunia secara umum dan khususnya kita rakyat Malaysia, telah dikejutkan dengan tragedi tidak terduga, apabila pesawat komersial Boeing 777-200 Malaysia Airlines penerbangan MH17 dari Amsterdam ke Kuala Lumpur diberitakan terhempas.
  4. Dalam tempoh kurang 2 jam, saya telah tiba di bilik operasi MAS KLIA, bersama beberapa orang Menteri. Kami diberi taklimat daripada pihak pengurusan MAS tentang apa yang berlaku. Setelah itu, tanpa berlengah, saya tidak putus-putus menghubungi dan dihubungi oleh beberapa pemimpin dunia antaranya Presiden Obama dari Amerika Syarikat, Perdana Menteri Mark Rutte dari negara Belanda dan Presiden Ukraine Petro Poroshenko tentang musibah yang terjadi.
  5. Selepas itu, lebih kurang pukul 2 pagi, saya telah membuat keputusan segera untuk menghantar pasukan khas ke kawasan bencana tersebut.
  6. Akhirnya, sekitar jam 5 pagi, saya telah mengadakan sidang akhbar khas, untuk memaklumkan kepada rakyat Malaysia dan seluruh dunia, tentang apa